Perkembangan kesihatan Azean Irdawaty, terdapat tumor dalam otak

Pelakon Azean Irdawaty yang menderita penyakit lymphedema makin membimbangkan kesihatannya setelah doktor mengesahkan terdapat tumor dalam otak pelakon disegani itu.

Dalam nada lemah dengan nafas tersekat-sekat, Azean yang membahasakan dirinya Kak Yan, mengesahkan perkembangan terbaru penyakitnya.

Namun, Bintang filem Esok Masih Ada itu masih tabah dan tidak menunjukkan perasaan bimbang sekalipun penyakit yang dihidapinya itu boleh membawa maut.

"Jika diikutkan, memanglah ia berita yang menyedihkan buat Kak Yan. Namun Kak Yan reda dengan segala ujian yang mendatang. Kak Yan pun tidak merasa tanda-tanda pelik mahupun merasa pening. Tetapi badan Kak Yan terlalu lemah dan tidak bermaya. "

Kak Yan bagaimanapun memberitahu, dirinya sukar menangani isu tekanan akibat derita penyakit yang dihidapinya.

"Sepanjang hidup, Kak Yan mampu untuk berpantang apa saja demi mengikut nasihat doktor dan Kak Yan juga masih mampu untuk melawan segala penyakit yang datang.Namun, hanya masalah tekanan atau stress saja yang sangat sukar ditepis. Mungkin dengan stress juga membuatkan macam-macam penyakit senang Kak Yan dapat," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Risau rawatan radioterapi

Jumaat lalu, ketika mendapatkan rawatan susulan penyakit yang dihadapinya, doktor peribadi Kak Yan yang dikenali sebagai Datuk Dr Ibrahim menemui gelembung sebesar 4.5 sentimeter di luar otaknya.

Sehubungan itu, Kak Yan dinasihat mendapatkan rawatan segera dengan merujuk kepada doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur.

"Kak Yan juga sudah berbincang dengan doktor yang menasihatkan Kak Yan melakukan rawatan awal. Jika diikutkan kosnya tidaklah mahal, namun apa yang merisaukan Kak Yan adalah rawatan susulan yang harus Kak Yan jalani selepas ini," katanya.

Kak Yan berkata, mengikut penjelasan doktor, tumor itu mungkin tidak akan dibuang tetapi dia perlu menjalani rawatan radioterapi beberapa kali sebelum proses selanjutnya.

Menurutnya, diet harian turut berubah kepada makanan yang lebih sihat.


"Mungkin dalam tempoh setahun ini, Kak Yan hanya boleh menikmati sayur-sayuran dan buah-buahan saja," katanya.

Kronologi derita Azean Irdawaty

* Seniwati ini disahkan menghidap barah payu dara pada pertengahan Jun 2007.

* Beliau melakukan pembedahan pada 27 Jun tahun sama di Hospital Putrajaya yang diketuai Ketua Jabatan Pembedahan dan Ketua Pakar Pembedahan Payu Dara dan Endokrin, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

* Kira-kira setahun kemudian, Azean memaklumkan, dirinya diuji lagi apabila ujian imbasan menunjukkan barah itu sudah menyelinap ke paru-paru dan hati. Beliau turut dikejutkan saranan doktor supaya dia menyediakan wasiat sebelum terlambat kerana mengikut perkiraan, dia dijangka meninggal dunia pada Oktober 2010.

* Azean meminta orang ramai `menghadiahkan' solat hajat buatnya ketika menyambut ulang tahun ke-62, Februari lalu. Katanya, kesihatan dirinya semakin kritikal akibat penyakit Lymphedema, iaitu kesan daripada pembedahan membuang 16 kelenjar ketika menghidap barah payu dara sebelum ini.

* Awal tahun ini, tersebar khabar angin kononnya Azean meninggal dunia. Namun beliau tampil menafikan khabar terbabit.

Post Comment

0 ulasan:

Sila komen Perkembangan kesihatan Azean Irdawaty, terdapat tumor dalam otak

Home


Kurus dengan cepat, sila klik sini.


Belajar gitar, sila klik sini.

 
Perkembangan kesihatan Azean Irdawaty, terdapat tumor dalam otak

Home | Disclaimer | Contact