Ada insan enggan berbicara kisah lampau yang menyakitkan hati. Tapi bagi Miera Liyana Kasmi, ia bukan alasan untuk melihat kembali kisah silamnya dengan kekasih hati, Shahrizal Jazle, malah berterima kasih.

Berkali-kali ucapan itu terpacul dari bibirnya kerana putus cinta membawa perubahan positif dalam hidup untuk menjadi gadis matang. Daripada riak wajah Miera melafazkan ucapan itu, jelas terpancar keikhlasan dan kesyukuran kerana pernah dipertemukan dengan pelakon itu.

"Saya tidak pernah kesal dengan apa yang pernah dilalui. Sejarah mengajar untuk menjadikan siapa kita hari ini. Saya berterima kasih kepada Shah. Kalau dia tak ada, saya tak akan menjadi Miera hari ini.


"Bukan saya nak `propa' atau sengaja nak bikin kontroversi tapi secara jujur, dia banyak bagi semangat kepada saya untuk menjadi matang pada hari ini. Kalau orang tanya masihkah ada rasa benci atau kecewa, saya jawab semua itu sudah saya buang jauh-jauh dan saya sudah tutup buku.

"Saya tak nak komen banyak pasal kehidupannya dan saya doakan yang terbaik. Manusia berubah, dia berubah dan saya pun sudah berubah," kata Miera penuh ceria.

Miera tanpa berselindung akui ucapan terima kasih dituju kerana sebelum ini dia buta cinta, malah usianya ketika hangat bercinta dengan aktor itu baru mencecah 19 tahun.

"Ketika itu saya masih muda dan kemaruk fikirkan soal cinta. Sejak saya fokus pada kerjaya, tawaran berlakon tidak pernah berhenti. Saya masih muda dan nak berseronok dengan kehidupan dilalui.

"Saya mahu berkawan dengan semua orang. Bukan tiada yang cuba nak cucuk jarum tapi saya tak ambil serius. Saya cakap saya sibuk dan nak tumpu kerjaya lakonan," katanya.

Miera juga akui, sejak itu dia sudah mula memilih kawan kerana tersalah memilih, nama akan busuk lagi. Dek kerana tersalah pilih kawan jugalah dia dilabel gadis sosial.

"Saya kena cari kawan yang sesuai kerana elok mereka, maka eloklah saya. Perkara itu memang realiti, memang tidak boleh dinafikan. Masalah orang kita ialah cepat labelkan orang lain dengan perkara buruk bila melihat sesuatu yang dianggap tak sesuai.

"Kalau seksi itu jahat, suka bersosial. Sebelum ini, saya memakai skirt sebab saya nak cuba sesuatu yang lain. Ketika itu saya masih muda, malah akui tidak sempurna. Sekarang bila sudah sedar, baru saya tahu dan belajar dari kesilapan itu," jelasnya.

Sejak namanya mula dikenali di khalayak seni, kontroversi dan gosip liar tidak pernah putus. Ada saja cerita kurang enak hinggap sehingga ada yang melabelnya Puteri Kontroversi.

Selain kisah cinta yang kini tinggal sejarah, Miera juga tak lekang dengan isu berpakaian seksi tak bertempat. Kemudian timbul pula isu bersosial di kelab malam dan berpesta liar.

"Setakat ini saya dah penat dengan macam-macam kontroversi. Sikit-sikit pasal seksi, putus cinta, liar, sosial. Kini saya gunakan semua pengalaman itu untuk matangkan diri sendiri. Saya kena buktikan saya bangkit bukan sekadar publisiti murahan tetapi saya seorang aktres.

"Seperti Umie Aida, Erra Fazira, Nasha Aziz, mereka juga pernah dilanda kontroversi tapi mereka tahu untuk `twist' hingga akhirnya disayangi peminat. Saya nak jadi macam mereka.

"Sekarang tempoh untuk mengelak kontroversi. Sebagai artis, memang tidak boleh lari tapi saya percaya kontroversi membantu artis," jelas Miera.

Kata Miera, dia bersyukur kerana kontroversi juga orang mula mengenalinya. Bukan melihat pada sudut negatif, sebaliknya dia optimis dengan kontroversi dan percaya menerusi bakat yang ditonjolkan, orang akan mula nampak kebolehan dirinya yang sebenar.

Miera yang kini beraksi dalam drama Kau Yang Terindah di TV3, baru selesai penggambaran filem Dendam Orang Mati dan Pencinta. Malah bakal masuk set penggambaran drama rantaian Putera Rayyan bergandingan bersama Nad Zainal dan Kamal Adli.

"Saya buka pilihan lebih besar bekerjasama dengan ramai pengarah. Tahun depan ada tiga filem menanti dan saya sangat teruja," katanya.

Oleh Amirul Haswendy Ashari
Sumber: Metro Ahad

1 ulasan:

  1. matang la sgt sampai tunjuk tetek...

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top