Namewee hasil filem semangat Malaysia

"Saya bukan suka mencipta kontroversi dan saya tidak rasa saya melakukan perkara negatif. Apa yang timbul selama ini mungkin kerana masyarakat salah faham terhadap karya saya," tegas pengarah sensasi, Weng Mee Chee atau Namewee. Menurut pemuda ini, sebagai pengarah, dia berusaha menghasilkan filem yang hakikatnya menyentuh budaya dan semangat Malaysia. "Bagi saya, bahasa tidak penting dalam sesebuah filem. Paling utama ialah paparan budaya masyarakat dan semangat perpaduan itu sendiri. Itulah sebabnya filem saya memaparkan pelbagai bahasa kerana ia boleh dituturkan oleh sesiapa saja, tetapi tidak pada budaya," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbarunya, Hantu Gangster. Tahun lalu, pengarah muda ini menghasilkan filem pertamanya, Nasi Lemak 2.0, yang mencatat pungutan kasar kirakira RM7 juta. Namewee yang pernah menambat hati juri di Osaka, Jepun, dengan memenangi anugerah Pengarah Muda Terbaik Asia, berkata setiap filem arahannya ialah paparan realiti masyarakat menerusi budaya, penyatuan kaum dan semangat cintakan negara. "Untuk filem ini, saya mendapat idea daripada datuk yang tinggal di Muar, Johor. Di sana, dia membuka kedai kopi. Walaupun berbangsa Cina, dia turut menjual makanan untuk masyarakat Melayu dan kedainya dikunjungi pelbagai bangsa. "Dia juga menjelaskan kepada saya, generasi lalu menjadi gangster untuk membantu antara satu sama lain, tetapi generasi kini sudah salah menggunakan maksud itu," katanya. Namewee juga memberitahu, gangster dalam filemnya itu sekadar tajuk, sedangkan isinya lebih kepada mesej menyentuh soal perpaduan bangsa dan budaya. "Sebenarnya, ketika menghasilkan filem, saya langsung tidak terfikir untuk menarik bangsa apa untuk menontonnya di pawagam. Matlamat saya hanyalah menghasilkan filem Malaysia. "Saya lihat, filem di negara ini suka meniru jalan cerita filem Inggeris. Saya tidak suka melihat perkara ini terus terjadi. Justeru, filem saya ialah paparan masyarakat kita, sehingga lagunya juga lagu Malaysia," katanya yang juga seorang pemuzik. Sementara itu, pada sesi sidang media selepas tayangan, pengarah ini sekali lagi dilihat agak lantang bersuara sebaik saja ditanya mengenai pemilihan Klang sebagai lokasi penggambaran. "Ini juga bukan kontroversi. Saya bukan ahli politik, sebaliknya karyawan seni. Jadi sudut pandang saya ialah seni semata-mata. "Ketika menulis skrip, saya sudah membayangkan lokasi ini sebagai kawasan samseng yang sesuai. Saya mahu betul-betul jujur dalam berkarya," katanya. Namewee juga menegaskan, dia belum mencapai kepuasan sepenuhnya ketika mengarahkan filem lakonannya itu. Selain dirinya turut ditampilkan ialah Farid Kamil, Diana Danielle, Amber Chia, Mizz Nina, Taiyuddin Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk David Arumugam. Filem yang menelan belanja sekitar RM2 juta itu akan ditayangkan pada 9 Ogos nanti. "Kepuasannya mungkin pada kadar 65 peratus. Bakinya adalah kekurangan dari segi lakonan dan pengalaman saya sendiri sebagai pengarah apabila terlepas pandang beberapa perkara. Selepas ini saya akan berusaha menghasilkan filem yang lebih baik," katanya. Semangat muhibah Sebuah persembahan aksi lawak yang cukup menggeletek jiwa, Hantu Gangster pada hakikatnya filem yang penuh dengan unsur satira. Filem yang menggunakan bahasa Melayu, Mandarin, Hokkien dan Tamil ini juga cukup berkesan dari segi lakonan. Pelakon seperti Farid memberikan lakonan cukup berbeza, sebagai penjahat yang tidak begitu kelihatan sisi hitamnya. Begitu juga dengan Diana, yang tampak sesuai menjayakan watak komedi. Seperti biasa, lakonan Taiyuddin tidak pernah menghampakan. Kali ini dia muncul dengan lawak lebih segar, menjadikan filem ini tambah menarik. Berlatar belakang tahun 90-an, ia mengisahkan perbalahan antara tiga kaum. Elemen mistik, iaitu hantu, diserapkan secara bersahaja bagi memaparkan sentuhan budaya negara kita. Kelebihan filem ini bagaimanapun terletak pada permuafakatan dan semangat muhibah ditonjolkan menerusi dialog dan keseluruhan jalan cerita. Ringkasnya, ia bercerita mengenai Te Sai, bapa seorang anak berusia 12 tahun yang hidup melarat. Akibat terdesak, pada satu upacara pengebumian, dia mencuri sebentuk cincin milik si mati yang dihantui tiga roh ketua samseng. Roh terbabit meminta bantuannya dalam menghentikan sengketa anak mereka. Hantu Gangster * Genre: Aksi, Komedi * Pengarah: Namewee * Pelakon: Namewee, Farid Kamil, Diana Danielle, Taiyuddin Bakar, Mizz Nina, Amber Chia, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk David Arumugam * Tayangan: Mulai 9 Ogos 2012 * Kos: RM2 juta * Terbitan: Prodigee Media Entertainment

Post Comment

0 ulasan:

Sila komen Namewee hasil filem semangat Malaysia

Home


Kurus dengan cepat, sila klik sini.


Belajar gitar, sila klik sini.

 
Namewee hasil filem semangat Malaysia

Home | Disclaimer | Contact