Cucu pengubat sunyi Datuk Yusof Haslam

Sebut saja siri Gerak Khas yang lebih sedekad menemani penonton di TV2, pasti nama Datuk Yusof Haslam akan terbayang di fikiran kita sehingga drama terbitan Skop Productions yang ditayangkan sejak 1999 itu dicatatkan dalam The Malaysia Book Of Records sebagai drama rantaian bercorak kepolisan paling lama disiarkan.

Yusof Haslam, 58, turut dianugerahkan pangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) Kehormat sempena sambutan ulang tahun Hari Polis Ke-205, barubaru ini, atas usaha yang dilakukan dalam menerbitkan drama bersiri kepolisan sejak awal pembabitannya sebagai penerbit dan pengarah bermula 1985.

Datuk Yusof Haslam

Begitu juga anaknya, Syamsul Yusof sebagai legasi usaha beliau mengangkat martabat industri perfileman tempatan apabila menjadi pengarah termuda dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) dua tahun berturut-turut, sekali gus menjadi sutradara pertama berjaya menghasilkan kutipan filem paling tinggi setakat ini apabila KL Gangster memperoleh kutipan RM12 juta.

Tidak ketinggalan adik Syamsul, Syafiq Yusof yang menghasilkan filem sulungnya, S.A.M (Saya Amat Menyintaimu) lakonan Shahiezy Sam dan Lisa Surihani apabila diangkat sebagai pengarah termuda di rantau Asia Tenggara. Filem berkenaan akan menemui penonton bermula 18 Ogos ini.

Justeru, Yusof bersama anak-anaknya - Syamsul dan Syafiq adalah tiga ikon industri perfileman tanah air yang sewajarnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, manakala insan yang sentiasa berdiri di belakang kejayaan mereka selama ini ialah isteri, Datin Patimah Ismail, 57, dan ibu kesayangan yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada suami serta anak-anaknya.

Pun begitu, suasana dalam banglo mewah yang terletak di lereng bukit di Taman Melawati, Selangor itu semakin sunyi apabila anak-anak Yusof semakin hari terus sibuk dengan kerjaya masing-masing dan jarang berada di rumah. Mujurlah, cucu boleh dijadikan tempat penawar rindu Yusof bersama isteri mengisi kekosongan.

Anak-anak Faizal Senin bersama menantu, Nazariah Mohd Harun - Nor Diana Faizal, 10; Mohd Faris Faizal, 8; dan Nur Nadhirah Faizal, 7, kini menjadi sandaran kepada Yusof dan Patimah untuk bermanja bersama mereka.

"Syamsul dan Syafiq harihari sibuk dengan shooting. Sekarang tinggallah saya bersama isteri di rumah, mujurlah ada cucu-cucu yang boleh dijadikan tempat penawar rindu. Selepas pulang dari pejabat, cucu-cucu yang menyambut kepulangan saya. Lazimnya ketika hari bekerja, sebelah malam, masa saya bersama cucu. Tapi, pada cuti hari minggu, sepanjang hari saya dan isteri ditemani cucu-cucu.

"Diana, Faris dan Nadhirah suka bergurau, mereka panjat atas badan kita. Saya pula suka melayan kerenah mereka. Cuma saya rimas apabila cucu bergaduh sesama sendiri. Nama pun budak-budak. Tapi, kalau anak sendiri, kadang-kadang saya pukul juga nak meleraikan mereka, sekarang cucu, nak menjentik mereka sekalipun, saya dan isteri tak sampai hati," kata Yusof yang ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Yusof juga memberitahu, ketika ini Syamsul sedang sibuk berlakon filem Gangster Celop, arahan Ahmad Idham, terbitan bersama Skop Productions dan Excellent Pictures. Syafiq pula masih berada di set penggambaran drama, mengarahkan KL Drift The Series bersama Ryzal Asyraf sebanyak 26 episod untuk siaran RTM.

Ketika kunjungan penulis ke rumah produser popular itu, Yusof dan Patimah sedang bersiap membawa cucu mereka ke Pasar Malam Taman Melawati.

"Kalau berkunjung ke pasar malam ni, makanan kegemaran Datuk ialah kuetiau goreng, saya sendiri suka cendol. Cucu-cucu pula suka manisan, biasalah budak-budak," kata Datin mencelah yang jelas nampak rapat dan mesra dengan cucu perempuan bongsunya, Nadhirah.

Terdahulu, ketika Yusof menemani cucu mereka mandi kolam renang di rumah mereka, Yusof sempat memberitahu, filem S.A.M bakal menemui penonton sempena musim Aidilfitri ini, manakala KL Gangster 2 arahan Syamsul dijadual memasuki pawagam sekitar Februari 2013.

"Dulu wartawan datang ambil gambar saya dan Datuk bersama anak-anak, sekarang yang ada cucu-cucu saja," kata Datin melayan kerenah cucu yang sesekali kelihatan `membulinya' dengan gelagat masing-masing.

Info menarik Yusof Haslam

* Yusof Haslam masih membuat persiapan terperinci daripada segenap aspek sebelum membawa kembali kisah tragedi Bukit Kepong ke layar perak serta memastikan anaknya, Syamsul dipertanggungjawabkan mengarahkan filem itu sudah benar-benar bersedia. Filem Bukit Kepong versi re-make mungkin dianggap `projek mega' Skop Productions apabila ia memerlukan kajian mendalam dan kerjasama semua pihak terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sokongan daripada agensi kerajaan apabila kos menerbitkan semula filem berkenaan dianggarkan sekitar RM6 juta.

* Skop Productions menempa sejarah baru industri perfileman tempatan apabila menghasilkan filem genre romantik thriller, S.A.M (Saya Amat Menyintaimu) yang pertama seumpamanya, sekali gus penerbitnya, Yusof mempertaruhkan anaknya sendiri, Syafiq, 19, sebagai pengarah filem cereka termuda di negara ini, malah di Asia Tenggara untuk duduk di kerusi sutradara bagi mengemudi pembikinan filem yang membabitkan kos RM1.7 juta.

* Antara bintang ternama yang pernah mendapat didikan awal Yusof sebagai pelakon dan masih mengekalkan kemasyhuran mereka sehingga hari ini termasuklah Erra Fazira, Ziana Zain, Awie, Nasha Aziz, Norman Hakim, Abby Abadi serta Datuk AC Mizal. Manakala nama-nama seperti A Galak, Deen Maideen, Mohd Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, Z Zamri dan Zulkifli Ismail boleh dianggap bintang senior serta paling lama berlakon menerusi drama kepolisan, Gerak Khas. Kini, siri berkenaan direhatkan dan digantikan drama kepolisan terbaru, Metro Skuad.

* Mengimbas cerita silam, Syafiq memberitahu, ketika ibunya (Datin Patimah Ismail) hendak melahirkannya, Yusof sedang menyiapkan drama polis trafik, Roda-Roda Kota Raya, sekali gus namanya ada perkataan `fiq' sempena nama trafik.

Oleh Zubir Mohd Yunus
Sumber: Berita Harian

Post Comment

0 ulasan:

Sila komen Cucu pengubat sunyi Datuk Yusof Haslam

Home


Kurus dengan cepat, sila klik sini.


Belajar gitar, sila klik sini.

 
Cucu pengubat sunyi Datuk Yusof Haslam

Home | Disclaimer | Contact