Kisah Farah Asyikin sampai seru bertudung

Beberapa hari sebelum Farah Asyikin Zulkifli, 33, mengambil keputusan untuk bertudung, dia rasa seperti ada sesuatu yang akan berlaku pada dirinya tetapi tak tahu apa bendanya.

Pada 12 Februari lalu dalam perjalanan balik ke rumahnya selepas menghadiri majlis pertunangan sahabat baiknya, Farhan AF4, dia berasa gelisah. Farah terkenang semula sejak dia akil baligh, dia tidak pernah menjaga auratnya dan tiba-tiba dia berasa sangat takut dengan balasan Allah SWT.


Bagaimanapun, Farah pada mulanya agak keberatan untuk bercerita mengenai perubahannya dan diberi publisiti berlebihan kerana dia bimbang menjadi satu dosa pula kerana dituduh menunjuk-nunjuk. Namun selepas dipujuk kerana perkara baik elok dihebahkan, barulah dia mahu bercerita.

"Saya rasa lain macam tetapi sebelum itu memang saya rasa ada sesuatu yang mana orang yang dekat dengan saya boleh nampak perubahan itu. Malam itu, apabila sampai di rumah, saya beritahu PA (Pembantu Peribadi) saya mahu mengerjakan solat sunat taubat dan selepas ini kalau berlaku sesuatu pada saya, jangan terkejut.

"Sepanjang solat saya menangis teringatkan dosa saya pada Allah SWT dan saya mohon pada-Nya leraikan kekusutan di hati ini sebab saya rasa tak tenang. Saya tak tahu kenapa.

"Saya juga minta petunjuk daripada Allah SWT jika taubat saya diterima-Nya. Sebaik saja selesai berdoa, tiba-tiba saya dengar guruh berdentum kuat dan hujan turun dengan lebatnya. Sama ada itulah petunjuk daripada-Nya ataupun secara kebetulan saya tak tahulah. Tetapi hujan lebat itu turun sekejap saja.

"Kemudian saya teruskan dengan bersolat Isyak, selesai solat saya terus capai tudung lalu memakainya dan memandu ke rumah emak. Mereka terkejut melihat penampilan baru saya tetapi saya tahu emak dan ayah sangat gembira. Tiada siapa yang memaksa saya berubah tetapi ia datang sendiri," katanya.

Esoknya, tambah Farah, adik bongsunya, Farah Farysha Syamin, 18, pula bertudung.

"Kami sekeluarga meraikan hidayah yang diberikan Allah SWT itu dengan bersolat Zuhur di Masjid Negara. Sejak bertudung ini rasa seronok sangat, tak tahu nak gambarkan perasaan macam mana. Rasa lebih selamat dan tenang tetapi saya selalu terfikir kenapalah selama ini saya tidak bertudung. Besarnya dosa saya mendedahkan aurat.

"Tetapi saya bersyukur kerana rasanya belum terlambat untuk saya berubah. Saya berdoa kepada Allah SWT semoga tudung di kepala saya ini lekat sampai bila-bila. Yang lebih buat saya gembira, kawan-kawan yang belum bertudung pun dah terbuka hati untuk bertudung dan mengajak saya pergi ke kelas agama.

"Memang ramai artis yang bertudung sekarang tetapi saya bukan terikut-ikut mereka, rasa untuk berubah itu terjadi dengan sendirinya," katanya.

Mengenai kerjaya seni pula, jelasnya dia akan mengikut apa saja ketentuan daripada Allah SWT, andai kata suatu hari nanti sampai 'seru' untuk dia meninggalkan kerjaya seninya, dia rela.

1 ulasan:

  1. Nurul Hiedayah Ruzman7 Mei 2012 12:41 PG

    tahniah farah...moga2 hidayah allah berterusan utk kamu :-)

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top