Pada Zaman Dahulu animasi Les Copaque terbaru

Pada Zaman Dahulu merupakan animasi Les Copaque Production Sdn Bhd yang menggunakan pendekatan amat berbeza, iaitu mengembalikan semula ingatan mereka yang pernah membesar dengan cerita yang berkisar pada kebijaksanaan Sang Kancil.

Bagi mereka yang pernah menonton animasi terbitan Filem Negara Malaysia (FNM) iaitu Hikayat Sang Kancil, pastinya animasi ini bagaikan satu nostalgia kerana teknik penceritaannya tidak banyak beza dengan apa yang disajikan FNM.

Ketika pelbagai pihak berlumba-lumba menerbitkan animasi berlatar belakang dunia moden, mengapa Les Copaque menongkah arus dengan menerbitkan cerita yang boleh dianggap sebagai kembali ke bahan yang boleh dianggap sebagai sejarah? Apakah kisah Sang Kancil ini masih lagi relevan dengan kanak-kanak yang menjadi kumpulan sasaran penonton mereka?

Menjawab pertanyaan itu, Mohd Shafiq Mohd Isa selaku pengarah berkata, mesej yang cukup kuat dalam hikayat berkenaan membuatkan mereka terpanggil untuk menerbitkan kembali animasi itu.

"Bagi kita yang pernah membesar dengan animasi itu, tentunya kita tahu bahawa Sang Kancil cukup bijak dalam menyelesaikan permasalahan membabitkan masyarakat haiwan di rimba. Selain itu, dengan menerbitkan kembali animasi ini, sekurang-kurangnya kita dapat memperkenalkan kepada generasi baru kepada animasi yang sarat nilai moral dan bukan sekadar hiburan ringan semata-mata.

"Jika kita tidak memperkenalkan hikayat Sang Kancil kepada mereka, siapa yang akan berbuat demikian? Mungkin ada kanak-kanak zaman sekarang yang tidak pernah kenal watak Sang Kancil.

"Walaupun menjadikan cerita Sang Kancil sebagai tema utama, namun dari segi pembikinan, ia menggunakan kaedah 3D dan teknik seperti lukisan untuk setiap watak dan juga latar suasana. Ia juga dibuat dalam format HD membuatkan hasilnya kelihatan lebih menarik berbanding animasi biasa," terang Shafiq ketika ditemui pada sesi pratonton animasi itu di pejabat Les Copaque di Shah Alam, baru-baru ini.

Watak dipaten elak ciplak

BAGI mendekatkan penonton dengan Sang Kancil dan masyarakat di rimba, produksi berkenaan menggunakan watak seperti Ara, Aris dan Aki sebagai perantara. Aki akan menceritakan kisah zaman dulu kepada dua cucunya itu, sebagai bahan pengajaran buat mereka.

"Sebagai permulaan, Pada Zaman Dahulu mempunyai 12 episod secara keseluruhannya. Kami juga masih lagi mengekalkan pecahan episod seperti Upin & Ipin iaitu tempoh 7 minit bagi satu episod dan tiga episod untuk sebuah kisah. Jadi, untuk musim pertama ini kita akan dihidangkan dengan empat kisah. Cerita Sang Kancil hanya ditimbulkan Aki apabila berlaku sesuatu kejadian membabitkan dua cucunya itu," katanya mengenai animasi yang bakal disiarkan mulai Sabtu ini di saluran TV AlHijrah.

Tambah Syafiq lagi, watak yang dicipta itu sudah pun dipatenkan supaya kejadian menciplak seperti yang berlaku ke atas Upin & Ipin sebelum ini tidak berulang.

"Ini adalah harta intelek dan kami awal-awal lagi sudah pun mempatenkan watak-watak yang kami perkenalkan itu, memandangkan ia juga akan menghiasi taman tema yang sedang dibina ketika ini," ujarnya.

Untuk membangkitkan suasana dulu kala, Pada Zaman Dahulu juga menggunakan muzik latar tersendiri hasil ciptaan Mohd Azfaren Aznam, merangkap Ketua Muzik Latar.

"Selain muzik moden, kami menyelitkan elemen gamelan dalam muzik latar supaya kedengaran lebih klasik dan sesuai dengan latar animasi berkenaan," katanya.

Animasi Pada Zaman Dahulu memaparkan kisah dua beradik, Aris dan Ara, yang tinggal di kampung bersama Aki dan Wan.

Akibat terlalu biasa tinggal di bandar menyebabkan mereka terasa sukar untuk membiasakan diri di desa.

Seperti kanak-kanak lain, Aris dan Ara juga nakal dan sering terbabit dengan pelbagai masalah. Dari situ Aki cuba mendekati cucu-cucunya, dengan bercerita kisah Sang Kancil supaya mereka belajar daripada kesilapan dan beroleh ilmu baru dalam kehidupan.

~ Mstar

Post Comment

0 ulasan:

Sila komen Pada Zaman Dahulu animasi Les Copaque terbaru

Home


Kurus dengan cepat, sila klik sini.


Belajar gitar, sila klik sini.

 
Pada Zaman Dahulu animasi Les Copaque terbaru

Home | Disclaimer | Contact