Kisah hidup penyanyi Charice

Bak kisah dongeng yang bermula dengan penderitaan dan berakhir dengan kebahagiaan hakiki, begitulah juga diibaratkan mengenai perjalanan seni penyanyi dari Filipina, Charmaine Clarice Relucio Pempengco, atau lebih dikenali dengan nama komersilnya, Charice. Hanya kerana penampilan fizikalnya tidak seperti penyanyi lain, gadis berusia 19 tahun ini pernah dinafikan haknya apabila juri sebuah pertandingan nyanyian yang disertai menyingkirkan dirinya pada peringkat awal.

Hati mana yang tidak terguris apabila bakat serta usaha yang dicurahkan itu hanya dipandang sebelah mata. Meskipun ketika di pentas pertandingan berkenaan vokalnya memukau penonton dan tarian yang dipamerkannya cukup hebat, namun semua itu bagaikan tiada erti apabila juri sepakat menyingkirkannya atas alasan yang cukup prejudis.

Namun, pengalaman perit itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengejar impian sebagai penghibur terkenal. Doa Charice akhirnya dijawab Tuhan dan peluang untuk menggapai impian itu terbuka luas apabila dia dipertemukan dengan komposer tersohor, David Foster, yang diakui cukup handal dalam mengesan bakat baru berpotensi untuk dijadikan bintang dalam sekelip mata.

"Bukan mudah untuk saya berjaya seperti hari ini. Ramai yang mahukan saya mengubah penampilan fizikal saya jika mahu menjadi artis terkenal. Hanya kerana wajah saya tidak secantik penyanyi lain, bakat yang saya ada tidak dihiraukan. Malah, saya pernah disingkirkan lebih awal dalam pertandingan nyanyian hanya kerana saya tidak mempunyai pakej seperti yang dimahukan.

"Kalau diikutkan, memang saya kecewa dengan alasan itu kerana saya tahu kekuatan vokal saya serta saya boleh menari dengan baik. Tapi jika itu tanggapan mereka, saya tidak boleh buat apa-apa. Namun ia bukan halangan untuk saya terus mengejar impian menjadi penghibur berjaya. Mujurlah saya dipertemukan dengan Foster yang percaya dengan bakat saya miliki ini," katanya dalam temu bual bersama sekumpulan wakil media sewaktu kunjungannya ke Malaysia bagi menjayakan konsert David Foster & Friends, yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, baru-baru ini.

Sambil menyifatkan kisah hidupnya itu tidak ubah seperti Cinderella, janji Charice, dia tidak akan membiarkan perkara yang sama berulang kepada mana-mana bakat baru yang mempunyai impian sepertinya, namun terpaksa dipendamkan hanya kerana tidak "secantik" seperti yang dikehendaki dalam industri ini.


"Tidak selama-lamanya saya akan menyanyi. Sampai masa nanti, saya akan kembali ke negara asal saya untuk membimbing bakat baru yang mahu menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya. Mungkin di sana ramai yang mahu menjadi penyanyi, tetapi faktor fizikal menjadi halangan. Sebagai seorang yang pernah melalui saat duka seperti itu, menjadi tugas saya memberikan keyakinan kepada mereka bahawa untuk berjaya, bakat ialah segala-galanya.

"Saya mahu memberikan kembali apa yang sudah saya peroleh. Segala pengalaman yang saya kutip sepanjang bergelar anak seni akan saya curahkan pada mereka. Selain itu, saya juga ingin menyambung pengajian dalam bidang undang-undang. Ilmu juga amat penting dan tidak mustahil saya akan bergelar peguam selepas ini," ujarnya yang cukup ramah dan cepat mesra ini.

Berlakon di sisi Salma Hayek

Bakat seni yang ada pada gadis bertubuh genit ini bukan saja menyerlah dalam bidang nyanyian atau tarian, tetapi juga dalam lakonan. Tentu ada yang perasan penampilan istimewanya dalam drama muzikal bersiri, Glee. Diajak bercerita mengenai pengalaman yang dilaluinya dalam drama itu, Charice mengakui dia cukup teruja membintangi siri popular itu.

"Memang seronok dapat berlakon dalam drama bersiri itu. Pelakonnya semua baik-baik dan mesra melayani saya. Paling menyeronokkan apabila kami melepak bersama-sama selepas penggambaran. Kalau diberi peluang dan kebetulan saya tidak sibuk, saya pasti akan kembali berlakon dalam siri muzikal itu.

"Selain itu, saya juga baru saja tamat penggambaran filem pertama yang berjudul Here Comes The Boom yang menyaksikan saya bergandingan dengan Salma Hayek dan Kevin James. Saya juga turut menyanyi dalam filem ini," katanya yang teringin membawakan watak hantu untuk filem seterusnya.

Ketika yang sama, peminat pastinya memang mengetahui kelebihan yang ada pada penyanyi yang disifatkan pengacara tersohor, Oprah Winfrey, sebagai Gadis Paling Berbakat Dalam Dunia Ini. Vokalnya yang lantang berjaya membuatkan dirinya cukup popular di laman sosial YouTube. Disebabkan keunikan vokal itulah juga maka dia berjaya memikathati Foster untuk dijadikan anak didiknya.

Bagaimanapun, bagi Charice, mempunyai vokal yang lantang bukanlah segala-galanya. Apa yang dimahukan gadis yang mula dikenali menerusi single Pyramid ini ialah nyanyian yang mampu meresap jauh ke dalam lubuk hati peminat. Baginya, kelebihan itu pada penyanyi United Kingdom, iaitu Adele.

"Saya amat mengagumi bakat yang ada pada Adele. Tanpa perlu menarik suara dalam nada tinggi, dia sudah mampu menawan hati ramai peminatnya. Saya suka dengan corak penyampaiannya yang bersahaja. Kekuatannya terletak pada melodi dan liriknya yang menyentuh perasaan," katanya yang kini muncul dengan album ke dua berjudul Infinity.

Bapa mati dibunuh

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, Charice dan keluarganya dilaporkan sangat sedih selepas tragedi pembunuhan bapanya beberapa hari lalu.

Ricky Pempengco, 40, ditikam Isnin lalu di Manila, sebelas bertembung dengan lelaki mabuk dalam kedai runcit.

AP melaporkan, dalam kenyataannya semalam, Charice mengucapkan terima kasih kepada peminat di seluruh dunia kerana memberikan sokongan moral kepadanya pada saat sukar itu.

Charice turut membatalkan baki siri jelajahnya dan kembali ke Filipina untuk bersama keluarga.

Penyanyi ini dan bapanya hidup berasingan sejak beberapa tahun lalu, namun dia mengaku ingin berbaik semula dengan lelaki itu. Ketika ini, pihak polis masih memburu pembunuh Pempengco.

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Post Comment

0 ulasan:

Sila komen Kisah hidup penyanyi Charice

Home


Kurus dengan cepat, sila klik sini.


Belajar gitar, sila klik sini.

 
Kisah hidup penyanyi Charice

Home | Disclaimer | Contact