Arja Lee cabar diri sertai Makyung


Arja Lee cabar diri sertai Makyung

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


KANAN:Barisan pelakon Makyung Dewa Indera Indera Dewa bersedia mempersembahkan teater tersebut pada 24 dan 25 Jun ini di Istana Budaya.



SELEPAS kejayaan besar Makyung Dewa Indera Indera Dewa dipentaskan pada tahun 2006, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, sekali lagi mementaskannya di Lambang Sari, Istana Budaya pada tahun ini.

Kali ini, tanggungjawab mengarah persembahan makyung tersebut dipikul oleh penggiat makyung terkenal Rosnan Rahman bersama Fatimah Abdullah.

Selain mengarah, Rosnan juga bertindak sebagai pelakon utama dan bergandingan dengan pelakon yang sedang meningkat naik, Arja Lee.

Gandingan mereka bukan pertama kali kerana Rosnan dan Arja sebelum ini pernah bergandingan bersama dalam filem sensasi …Dalam Botol.

"Ramai yang memohon Makyung Dewa Indera Indera Dewa dipentaskan semula selepas percubaan pertama persembahannya itu pada tahun 2006. Selepas mendapat sambutan yang luar biasa dan juga yakin produk makyung boleh mendekatkan orang ramai terutama golongan belia terhadap seni makyung, kami mementaskannya semula," kata Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Sharaani ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Makyung Dewa Indera Indera Dewa minggu lalu.

Katanya, namun kali ini ia tampil lebih berbeza apabila dipentaskan selama satu jam setengah berbanding persembahan sebelum ini yang terlalu meleret sehingga tiga jam.

"Persembahan makyung kali ini juga akan disaratkan dengan babak lakonan, aksi dan juga komedi," katanya yang mengharapkan sambutan mengalakkan daripada teater tersebut.

Ditanya mengenai pemilihan Arja sebagai watak Indera Dewa yang sebelum ini dipegang oleh pelakon wanita, Juhari yang lebih mesra disapa Abang Joe memberitahu, kebetulan Arja menjalani latihan praktikal di Istana Budaya, jadi dia dipilih untuk menjayakan pementasan tersebut.

"Persembahan makyung merupakan salah satu tugasan yang perlu dilakukannya untuk latihan praktikal di Universiti Sains Malaysia (USM)," katanya.

Tambahnya, Arja juga sudah berpengalaman menjayakan pementasan teater. Dia pernah menjadi penyanyi utama dan memegang watak under study sebagai Hang Tuah dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang 1 dan 2, teater Mahsuri dan terbaru teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa.

Sementara itu, bagi Arja sendiri pemilihannya untuk persembahan Makyung Dewa Indera Indera Dewa merupakan peluang keemasan yang tidak harus ditolak.

"Bagi saya, walaupun sukar untuk melakonkan watak Indera Dewa dalam persembahan makyung ini kerana memerlukan saya bercakap dalam dialek Kelantan, saya tetap menerimanya. Ini masanya untuk saya buktikan dan mencabar diri bagi melibatkan diri dalam persembahan makyung," katanya yang pernah menjadi penari sepenuh masa kepada penyanyi hebat, Datuk Siti Nurhaliza.

Sementara itu menurut Rosnan pula, dalam keterujaan mementaskan kembali Makyung Dewa Indera Indera Dewa, dia mengakui hatinya berasa sayu. Ini kerana dia terpaksa melepaskan tanggungjawab memperjuangkan seni makyung kepada orang lain selepas 10 tahun mengabdikan diri kepada kumpulan itu.

"Saya sedih bagaikan meninggalkan anak. Makyung begitu sebati kepada saya. Selepas ini, tugas memperjuangkan makyung harus dipikul oleh orang lain," katanya yang bakal melepaskan jawatan Penolong Pengarah Produksi di Istana Budaya dan menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Kebudayaan Kesenian, Negara (JKKN).

Makyung Dewa Indera Indera Dewa yang turut mendapat undangan untuk dipentaskan di Jabatan Kesenian dan Warisan Negara, Negeri Sembilan pada 24 dan 25 Jun ini mengisahkan tentang dua beradik anak raja iaitu Dewa Indera dan Indera Dewa yang berebut memikat hati Puteri Selindungan Daun.

Teater Makyung Dewa Indera Indera Dewa akan dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 17 dan 18 Jun ini pada pukul 8.30 malam. Tiket berharga RM15 dan RM25. Pembelian tiket secara online boleh dibuat menerusi www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4147 8600.



Post Comment

0 ulasan:

Sila komen Arja Lee cabar diri sertai Makyung

Home


Kurus dengan cepat, sila klik sini.


Belajar gitar, sila klik sini.

 
Arja Lee cabar diri sertai Makyung

Home | Disclaimer | Contact