Semua Imam Muda ke Madinah

Siapakah yang dinobat sebagai Imam Muda unggul akhirnya terjawab sudah apabila peserta dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26, atau Asyraf diumumkan sebagai juara.



Menepati ramalan, Asyraf yang sebelum ini berpengalaman sebagai imam mengenepikan pencabar terdekatnya iaitu Hizbur atau Hizbur Rahman Omar Zuhdi, seorang guru tahfiz yang berasal dari Baling, Kedah.

Baik Asyraf mahupun Hizbur masing-masing memang berkelayakan bergelar imam dan menerusi rancangan Imam Muda, bakat dan kebolehan mereka diasah daripada pelbagai aspek keagamaan.

Pada malam kemuncak rancangan itu yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, kedua-dua nya dikehendaki menyampaikan tazkirah, mengaji al-Quran secara bertarannum, mengalunkan zikir serta menjawab soalan-soalan secara spontan.

Biarpun ini merupakan penerbitan sulung Imam Muda, objektif untuk mengangkat status imam ternyata bukan hanya omongan kosong.

Penerimaan terhadap rancangan itu cukup meluas. Bahkan, di laman sosial Facebook Imam Muda, bilangan peminat kini sudah mencecah lebih 50,000 orang.

Pengisian serta kandungan, cabaran dan pembelajaran yang diberikan kepada peserta ternyata berjaya menarik minat bukan hanya masyarakat tempatan tetapi juga di luar negara.

Selama 10 minggu, peranan sebenar seorang imam diterjemah ke kotak televisyen dalam bentuk yang cukup menarik di Astro Oasis.

"Imam Muda banyak mengubah hidup saya. Bagi saya yang paling mencabar ialah bagaimana untuk mengubah persepsi masyarakat dalam banyak perkara.

"Saya berazam untuk menjadi imam yang relaks yang boleh bercampur dengan semua golongan termasuk kanak-kanak, remaja dan yang lebih tua," kata Asyraf.

Dengan kemenangan itu, Asyraf membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai hampir RM350,000.

Ini termasuklah tawaran kontrak menjadi ratib di salah sebuah masjid di ibu kota.

Selain trofi, sijil penyertaan dan kad tauliah yang diiktiraf Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), hadiah turut merangkumi biasiswa pakej 'berlian' pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Saudi Arabia, pakej menunaikan haji dan umrah, kereta Proton Exora serta wang tunai RM20,000.

Hadiah lain termasuklah pakej percutian ke Bandung selama 4 hari 3 malam, pakej perabot jati bernilai RM10,000, pakej spa Maghribi, komputer riba Apple Macbook Pro dan sebuah iPhone 3G.

Bagaimanapun, Asyraf masih belum membuat keputusan bilakah masa yang sesuai untuknya menyambung pengajian di Madinah memandangkan pengajiannya di peringkat sarjana di Universiti Malaya masih belum selesai. Dia merancang untuk menamatkan dahulu pengajiannya di negara ini.

Begitu juga Hizbur yang ingin menamatkan dahulu pengajian tahun akhir di Universiti Al-Azhar, Mesir.

"Daripada jumlah lebih 1,300 peserta yang hadir di peringkat uji bakat, hanya 10 yang terpilih.

"Bagaimanapun, syukur sangat program ini berjalan dengan lancar. Apatah lagi Imam Muda berjaya mencetus fenomena yang tidak pernah berlaku," kata Hizbur.

Sebagai naib juara, Hizbur membawa pulang hadiah merangkumi pakej 'emas' pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Saudi Arabia, pakej umrah, wang tunai RM15,000, pakej percutian ke Bandung 4 hari 3 malam dan pakej perabot jati bernilai RM7,000.

Hadiah lain termasuklah sebuah komputer riba Apple Macbook Pro, iPhone, pakej spa Maghribi di samping trofi, sijil penyertaan dan kad tauliah daripada Jawi. Menariknya, bukan hanya Asyraf dan Hizbur yang bakal melanjutkan pelajaran ke Madinah tetapi lapan lagi peserta Imam Muda.

Berita menggembirakan itu diumumkan oleh pengetuanya, Datuk Hassan Mahmood pada malam kemuncak itu sebelum mengumumkan pemenang yang mengungguli Imam Muda.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah pada sidang akhbar yang diadakan selepas tamat pertandingan akhir itu memberitahu, dalam merealisasikan hasrat kandungan Astro di bawa ke peringkat lebih tinggi, Imam Muda ternyata salah satunya yang menjadi perintis.

Bercerita tentang perancangan kepada para peserta Imam Muda, jelas Zainir, dalam masa terdekat iaitu selama enam bulan, peserta Imam Muda bakal mengikuti pelbagai program dan aktiviti yang disediakan oleh Astro.

"Bagaimanapun, untuk tempoh seminggu kita akan beri peluang kepada mereka untuk pulang ke kampung masing-masing selama seminggu untuk bertemu keluarga.

"Tentunya bulan Ramadan nanti pelbagai aktiviti menanti mereka terutamanya untuk mengimamkan solat-solat terawih selama sebulan.

"Bukan itu sahaja, malah ada diantara peserta Imam Muda mendapat tawaran untuk mengimamkan solat terawih di salah sebuah masjid di Amerika Syarikat," katanya.

Khabarnya, Adib, 22, yang merupakan graduan Sarjana Muda Usuluddin, Universiti Muta'ah, Jordan merupakan peserta yang mendapat tawaran untuk mengimamkan solat terawih selama sebulan di Amerika Syarikat.

Peserta yang berasal daripada Kota Baharu, Kelantan itu merupakan peserta ketujuh yang tersingkir daripada rancangan itu.

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

Post Comment

0 ulasan:

Sila komen Semua Imam Muda ke Madinah

Home


Kurus dengan cepat, sila klik sini.


Belajar gitar, sila klik sini.

 
Semua Imam Muda ke Madinah

Home | Disclaimer | Contact